Adalah fitrah manusia untuk menghela nafas lega apabila berakhirnya sesuatu ujian dalam kehidupan yang penuh cabaran ini. Maka, kelegaan yang diiringi dengan kegembiraan serta kesyukuran itu selayaknya diraikan dengan meriah kerana manusia dapat melalui ujian tersebut dengan kudrat yang dianugerahkan-Nya. Begitulah gambaran bagi sambutan kehadiran Syawal yang menyusul sebaik-baik Ramadan, bulan yang penuh keberkatan berlalu pergi dengan gugusan nikmatnya.

Yang demikian, Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada bulan Syawal sebenarnya merupakan sambutan kemenangan oleh seluruh umat Islam yang baru sahaja selesai menempuh ujian di sepanjang bulan Ramadan. Namun, kemeriahan sambutan Hari Raya Aidilfitri atau Hari Raya Fitrah bukan terletak pada deretan hidangan di atas meja yang menyelerakan untuk para tetamu mahupun bilangan pakaian dan hiasan diri atau rumah yang serba baharu lagi indah untuk digayakan atau diperagakan pada hari istimewa itu. Sebaliknya, kemeriahan itu terletak pada sejauh dan sedalam mana umat Islam memahami dan menghayati pengertian sebenar Syawal dari sudut kerohanian dan kesucian manusia seusai tamatnya peperangan antara nafsu dan akal.

Hal ini tertumpu pada maksud fitrah itu sendiri yang mana selepas sebulan beribadah dan beramal soleh, umat Islam memperoleh kembali fitrah mereka yakni kebebasan diri dan menyucikan diri dan harta melalui zakat fitrah yang merupakan rukun Islam yang ketiga. Sumbangan zakat ini pula akan selanjutnya diagihkan oleh pihak yang bertanggungjawab untuk meringankan beban kehidupan golongan yang berhak menerima sumbangan tersebut mengikut hukum syarak. Jelas akan tuntutan ini, maka Hari Raya Aidilfitri ialah lanjutan ibadah dari Ramadan yang dipertingkatkan di bulan Syawal kerana pemberian zakat bukan sahaja dikhususkan kepada golongan yang memerlukan, malah diluaskan kepada kanak-kanak, orang-orang tua dan sesiapa sahaja yang kita rasakan layak untuk dikongsi nikmat tersebut dengan ikhlas terutama ketika bertemu semasa kunjung-mengunjungi di Hari Raya.

Ibadah ini tidak hanya berlegar sekitar kehidupan sesama manusia. Bahkan sambutan itu diawali dengan memuji kebesaran dan keagungan Tuhan melalui laungan takbir beramai-ramai di masjid-masjid, di rumah, di radio dan sebagainya. Sekaligus, takbir yang bergema itu mencipta kesyahduan bukan hanya pada suasana, malah mewujudkan keinsafan dalam diri kita sebagai manusia yang tidak terlepas daripada melakukan dosa. Justeru keinsafan dan mensyukuri segala nikmat pemberian Tuhan yang terkesan itu seharusnya mengukuhkan keiltizaman umat Islam untuk terus-terusan berusaha ke arah melakukan kebaikan dalam kehidupan mereka. Tambahan pula laungan takbir itu sendiri secara jelas memberikan petunjuk bahawa Hari Raya Aidilfitri bukanlah pesta yang disambut dengan pembaziran ataupun masa untuk kita menunjuk-nunjuk segala yang dimiliki. Sebaliknya, meningkatkan keinsafan itu ke tahap yang lebih bermakna dan bermanfaat dari segi perbuatan, tingkah laku dan kesucian jiwa.

Oleh itu, persiapan yang dilakukan oleh umat Islam untuk mengalu-alukan ketibaan Hari Raya Aidilfitri bertujuan untuk sekadar menghidupkan suasana ceria dan menyambutnya dalam serba kesederhanaan. Manakala hidangan yang disediakan bertujuan untuk mengongsi kelebihan yang dimiliki dengan tetamu yang berkunjung ke rumah tanpa terselit niat menunjuk-nunjuk kelebihan yang dimiliki kerana pada dasarnya kunjungan tersebut adalah untuk mengeratkan silaturrahim yang mungkin terjejas akibat kesibukan tugas atau sebab-sebab yang lain seperti perselisihan. Selain itu, kita mengambil kesempatan tersebut untuk bermaaf-maafan di atas segala kesilapan dan kesalahan yang dilakukan. Lantaran itu, kita dapat membuka lembaran baru dalam kehidupan dengan tekad untuk menjaga hubungan tersebut agar tidak terjejas dengan sifat-sifat manusia yang tercela dan berdoa dipertemukan semula dalam keadaan sihat pada kesempatan-kesempatan yang lain.

Hasil karya Erin Publishing House.

Categories:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *