Ramadan, bulan yang penuh kelebihan dan hikmah ini merupakan bulan yang ke sembilan dalam susunan dua belas bulan dalam kalendar Islam dan menurut kajian pada bulan Ramadan suhu panas alam mencapai puncaknya.

Yang demikian, sepanjang Ramadan umat Islam bukan sahaja berhadapan dengan cabaran dan dugaan utama yang berkaitan dengan hawa nafsu. Bahkan cuaca yang panas terik juga menambah kegetiran cabaran yang harus dihadapi oleh umat Islam semasa menjalani ibadah puasa yang merupakan salah satu daripada rukun Islam yang lima. Oleh itu, persediaan awal secukupnya dan memastikan rutin tertentu sehari-hari seperti bersahur yang dianjurkan dalam Islam dan yang disarankan oleh pakar perubatan tidak diabaikan mahupun dipandang remeh agar umat Islam dapat melalui Ramadan dengan selesa dan dalam tahap kesihatan yang baik serta mantap.

Sememangnya, kunjungan Ramadan merupakan nikmat yang besar dan amat dinanti-nantikan oleh umat Islam yang tidak akan melepaskan peluang untuk merebut segala nikmat yang mengiringi kunjungannya yang agak singkat terutama bagi mereka yang benar-benar memahami akan rahmat Tuhan pada bulan tersebut. Tentunya nikmat tersebut menuntut kesediaan dan keikhlasan umat Islam untuk melakukan ibadah puasa yakni perbuatan menahan diri daripada lapar dan dahaga antara waktu terbit fajar sehingga waktu masuk matahari. Selain itu, memperbanyakkan amalan soleh seperti bersedekah, bersolat dan membaca al-Quran. Malah, puasa tidak terbatas sekadar pada urusan perut sahaja yakni lapar dan dahaga tetapi melibatkan seluruh pancaindera dan anggota tubuh termasuk fikiran dan hati perlu diawasi dan dikawal agar tidak melakukan dosa yang dapat menjejaskan pahala berpuasa atau amalan di sepanjang bulan yang penuh keberkatan ini.

Dalam erti kata lain, Ramadan merupakan bulan yang sewajarnya dipenuhi dengan ibadah semata-mata kerana pahala yang berganda-ganda banyaknya sebagai balasan dan keazaman untuk menjauhi atau mengurangkan aktiviti keduniaan yang hanya melalaikan atau merugikan umat Islam daripada meraih aneka nikmat yang dijanjikan-Nya di sepanjang bulan tersebut. Justeru Ramadan menjadi bulan permulaan bagi segala kebaikan khususnya untuk melatih diri melawan hawa nafsu, mengasah jiwa dan ketajaman fikiran umat Islam melalui amalan-amalan soleh sehingga berjaya meleburkan sifat-sifat tercela dan dosa yang ada dalam diri mereka.

Malah, ketika berlapar dan dahaga, seharusnya mereka yang terdiri daripada golongan yang berkemampuan ini dapat merasakan dan memikirkan nasib golongan susah yang mungkin terpaksa melalui keadaan tersebut berhari-hari dalam kehidupan mereka yang sempit dan serba kekurangan.

Oleh itu, di kala tersaji pelbagai hidangan dan minuman, perasaan dan pemikiran yang timbul terhadap nasib golongan susah itu bukan kebanggaan yang seharusnya wujud di hati sebaliknya terpantul kata-kata kesyukuran yang tidak terhingga kerana dikurniakan kelebihan untuk menikmati segala yang diidamkan ketika berpuasa berbanding golongan susah yang mungkin tidak mempunyai apa-apa kecuali sekadar rezeki untuk mengalas perut daripada mati kebuluran. Andainya umat Islam dapat melanjutkan kesedaran tersebut ke satu tahap yang lebih tinggi lagi mulia, iaitu mewujudkan rasa keihsanan untuk membantu dan mengongsi rezeki sesama insan. Maka, itulah kemenangan sebenar yang ingin dicapai oleh umat Islam melalui sedekah berterusan yang tidak hanya diperbanyakkan dalam bulan Ramadan tetapi di sepanjang waktu ketika diri berada dalam kelebihan.

Selain ibadah yang melibatkan hubungan sesama insan termasuk menjauhi umpatan dan hasad dengki, dituntut juga ibadah yang dapat mendekatkan diri dengan Tuhan dan meningkatkan ketakwaan serta ketaatan umat Islam terhadap pencipta mereka seperti solat terawih dan memperbanyakkan membaca al-Quran. Malah amalan di bulan Ramadan terbahagi kepada tiga bahagian yang mana pembahagiannya sesuai dengan rahmat Tuhan untuk umat Islam bagi persediaan mereka di akhirat kelak. Walau apapun amalan yang dilakukan oleh umat Islam tentunya untuk merebut rahmat yang dikurniakan-Nya dengan penuh kerendahan diri dan keinsafan terhadap dosa-dosa yang telah dilakukan. Lantas memohon keampunan dan dengan rahmat-Nya meminta dijauhkan dari siksa api neraka. Mudah-mudahan diterima segala amalan dan ibadah dan dikurniakan dengan ganjaran pahala setimpal dengan amalan dan ibadah yang dilakukan oleh umat Islam di sepanjang bulan Ramadan.

Hal inilah yang ingin dicapai oleh umat Islam kerana pengertian Ramadan bukan sekadar terletak pada lapar dan dahaga atau keistimewaan bulan tersebut yang mana turut mengandungi malam lailatul Qadr, iaitu satu malam yang lebih mulia daripada seribu bulan. Bahkan memahami dan melaksanakannya dari sudut yang lebih luas dan menyeluruh dari segi perlakuan, perbuatan serta manfaat yang dapat menjadikan kita, sebenar-benarnya umat Islam, hamba yang sentiasa mencari keredaan-Nya.

Hasil karya Erin Publishing House.

Categories:

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *