Perjuangan beliau untuk memartabatkan bahasa Melayu bukan untuk merangkul gelaran demi gelaran yang dipadankan manusia berderet-deretan pada namanya – adiguru, bahasawan, budayawan dan sasterawan.

Apatah lagi untuk mendabik dada setelah pencapaian dan pengiktirafan diperoleh dalam penitian beliau melebihi empat dekad. Bagi beliau, mematrikan namanya di puncak tersohor bukanlah matlamat yang mendasari jiwa Melayunya yang kental. Yang jelas, bagi Allahyarham Cikgu Mohamed Naim Daipi, penggiat bahasa Melayu setempat, adat manusia memberi untuk penghargaan manakala adat manusia menerima untuk terus menyumbang dan berbakti selagi hayat dikandung badan.

Justeru prinsip inilah yang terus menyalakan obor perjuangan tokoh bahasa yang amat disegani ramai itu agar tidak terbakar dek percikan sanjungan dan terpadam dek lalai pujian terhadap pengiktirafan yang disertai tanggungjawab itu. Malah bukan adab dirinya untuk menyemai cinta dan mendidik anak bangsanya tanpa mengongsi dan menambah ilmu pengetahuan mereka terhadap bahasa Melayu yang membentuk jati diri. Bukan juga adat warisannya untuk mendedahkan dan menyampaikan tentang keindahan sastera Melayu tanpa menyediakan bahan rujukan untuk masyarakatnya.

Oleh itu, dengan langkah yang digagahi semangat waja, Allahyarham menelusuri fasa-fasa pencarian dan penggalian ilmu pengetahuan yang tidak berpenghujung untuk memantapkan ilmu di dada dan menghasilkan karya-karya yang bermutu dengan harapan dapat dimanfaatkan oleh orang ramai. Bermula dengan kerjaya sebagai guru biasa, beliau telah memberi komitmen yang tinggi terhadap pengajaran dan pembelajaran Bahasa Melayu di sekolah. Komitmen dan dedikasi yang dimiliki oleh beliau terus disemai dan dipupuk dalam diri anak didiknya yang sebilangan besar merupakan guru-guru Bahasa Melayu hari ini. Bimbingan dan tunjuk ajar beliau yang disampaikan dengan kesabaran dan disulami humor kerana sememangnya Allahyarham merupakan seorang yang candi dan suka berjenaka menjadikan pengajaran mudah diikuti dan menarik.

Perkongsian demi perkongsian dijalankan oleh beliau untuk meningkatkan kemahiran dan ilmu pengetahuan para guru. Beliau tidak pernah berasa lelah untuk turut serta dalam sesi-sesi sedemikian kerana bagi beliau sesi-sesi tersebut memberi manfaat dua hala. Terutama kesempatan untuknya berkenalan dengan guru-guru yang juga merupakan pejuang-pejuang bahasa dan budaya Melayu. Bahkan beliau menggantung harapan kepada mereka sebagai pelapis untuk meneruskan perjuangan beliau yang kian dicabar oleh kesihatannya yang tidak menentu.

Penglibatan Allahyarham dalam penggalakan bahasa Melayu dan sastera setempat dan di peringkat serantau merupakan sumbangan beliau yang tidak ternilai dan antara yang mendapat sentuhan kepakaran beliau ialah Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Mabim, Bulan Bahasa dan pernah suatu ketika dahulu Sanggar Sastera di akhbar Berita Minggu. Perjuangan beliau yang tidak dibatasi sempadan kenegaraan terus menjalar. Bahkan sejak 1975 lagi, menerusi nama pena Nizqin, Muhammad Nazali dan Hasnady Abdullah, beliau telah menghasilkan pelbagai genre penulisan – cerpen, puisi, esei sastera dan novel yang ada di antaranya turut menerima anugerah hadiah sastera. Pembukuan penulisannya adalah antara sumbangan besar beliau kepada masyarakat dan negara.

Persaraan beliau daripada bidang pendidikan pada 2010, iaitu enam tahun setelah perlantikan beliau sebagai guru pakar pertama di Singapura tidak menghambat atau menghentikan penglibatan beliau daripada bidang tersebut. Malah persaraan beliau membenarkannya untuk bergerak bebas menyemarakkan obor kebahasaan dan kesasterawanannya di peringkat yang lebih luas. Namun, obor yang diharapkan terus bernyala itu terpadam dengan mengundang kejutan ramai. Sekaligus, menyentap kepakaran yang kita miliki dengan berpulangnya Allahyarham Cikgu Mohamed Naim Daipi pada 13 April 2015.

Sebagaimana ikrar beliau untuk terus berjuang memartabatkan bahasa dan budaya Melayu selagi hayat dikandung badan begitu jugalah hembusan terakhir beliau yang ternoktah semasa mewakili MBMS di Sidang Mabim di negara Brunei Darussalam. Meskipun perjuangan Allahyarham sudahpun sampai ke garis penamat namun sumbangannya akan terus dikenang khususnya masyarakat Melayu. Diharapkan obor yang terpadam itu akan disemarakkan dengan obor-obor anak-anak didiknya yang biarpun masih kecil akan terus bernyala dan digahkan sebagaimana harapan Allahyarham semasa hayat beliau.

Foto sumbangan Saudari Nur Atika Bte Mohd Naim

Categories:

OneSpiffy Ninjas

Develop Websites with Ninjas! Stop imagining and get a Ninja team to develop, design and deploy applications and websites for you. Start today, free credits and no card required. https://spiffy.one/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *